Skip to main content

Dalam keadaan dunia yang semakin maju, hampir segalanya kita boleh dapatkan dengan pantas sehingga menjadikan manusia itu jadi kurang sabar. Inilah kelemahan seorang yang bergelar manusia.

Inilah yang berlaku dalam kehidupan kita saat ini, dimana apabila kita berdoa meminta sesuatu kepada Tuhan, kita mengharapkan Tuhan menjawab doa itu secepatnya dan tidak perlu menunggu lama. That’s not how God works in our life. Tetapi yang pasti Tuhan akan menjawab doa itu tepat pada waktuNya dan tak pernah terlambat. Bukan kehendak kita tetapi biarlah kehendakNya yang terjadi.

Adakalanya jawapan Tuhan bagi doa kita adalah “tunggu” kerana Dia ingin mempersiapkan peribadi kita terlebih dahulu sebelum memberikan apa yang kita doakan. Suatu saat janjiNya pasti digenapi. Apa yang kita perlu lakukan adalah taat kepada firmanNya. Jangan pernah meragui janjiNya dalam hidup kita kerana tidak ada satupun yang tidak ditepatiNya.

Mazmur 12:7 menyatakan “Janji TUHAN adalah janji yang murni, bagaikan perak yang teruji, tujuh kali dimurnikan dalam dapur peleburan di tanah. “

Ingatkah anda mengenai cerita Lazarus dimana Yesus sengaja menunda untuk datang ke Bethania bagi menyembuhkan Lazarus sehinggalah Lazarus meninggal dan hanya selepas beberapa hari barulah Yesus datang ke Bethania. Rencana Tuhan bagi Lazarus ternyata di luar jangkaan manusia, Dia sebenarNya ingin membangkitkan Lazarus sehingga Bapa di syurga dimuliakan. Tuhan ingin menyatakan kemahakuasaanNya di tengah-tengah keluarga Lazarus.

Cara Tuhan untuk menolong kita, orang percaya, memang tidak dapat difahami secara akal dan logik. Kadang perkara yang kita fikir mustahil terjadi, ternyata tidak bagi Tuhan. Kita hanya mampu percaya dan berharap bahawa waktu Tuhan tidak terlalu cepat dan juga tidak pernah juga lambat.

Janganlah kita mengukur pertolongan Tuhan menurut agenda rencana dan waktu kita kerana Tuhan itu bertindak menurut waktuNya. Ketahuilah bahawa Dia punya rencana atas hidup kita dan Dia sedang mengajar, membentuk serta mendewasakan kita agar kemuliaanNya dapat dinyatakan melalui kehidupan kita. Bersabarlah dan tetaplah bertekun dalam doa kerana Tuhan tahu apa yang dilakukanNya dan Dia tahu waktu yang terbaik untuk menolong kita.

Pertolongan Tuhan tak pernah terlambat. Tuhan memberkati!

– Sis Phrisca

Leave a Reply

Close Menu

Pejabat BWCCDCC

63-3 (3rd Floor), Jalan Dwitasik 2, Bandar Sri Permaisuri, Kuala LumpurE: info[at]bwccministry.org T: 011 2161 7054